Putrajaya — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melancarkan penggunaan lori elektrik berteknologi tinggi dilengkapi sistem pemantauan GPS sebagai langkah strategik membanteras ketirisan hasil sawit yang selama ini merugikan agensi hingga RM200 juta setahun.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata inisiatif itu dibangunkan dengan kerjasama Sustainable Future Sdn Bhd dan akan dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) bagi memastikan rantaian pengumpulan hasil sawit lebih telus dan teratur.
“Setiap tandan buah segar (TBS) akan dipantau dari ladang ke pusat pengumpulan atau kilang Felda, bukan lagi disalur kepada pihak ketiga yang sering menjadi punca ketirisan,” katanya ketika merasmikan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat di Felda Bukit Damar, baru-baru ini.
Tambah beliau, sistem baharu ini membolehkan data hasil ditimbang, direkod dan dipantau secara digital, sekaligus menjadi pangkalan maklumat penting bagi strategi subsidi, logistik dan perancangan pasaran komoditi Felda.
Tingkat Ketelusan, Pulih Peranan Koperasi
Ahmad Shabery menjelaskan bahawa sebelum ini, ketirisan berlaku apabila peneroka menjual hasil kepada orang tengah, sindiket atau peraih yang memanipulasi harga dan berat. Situasi itu telah melemahkan kedudukan koperasi dan memberi kesan langsung kepada dividen KPF.
“Sistem lama membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ – simbol kepada ketirisan sistemik yang menindas peneroka. Peneroka kerja siang malam, tapi yang untung adalah pihak luar,” tegas beliau.
Dengan pelancaran PMS dan pemantapan sistem pemantauan pintar, Felda kini memberi isyarat jelas bahawa pengurusan hasil peneroka akan direformasikan sepenuhnya.
“Ini bukan sekadar soal hasil sawit, tapi soal keadilan ekonomi untuk warga peneroka dan daya tahan Felda sebagai peneraju sektor agri komoditi negara,” katanya.