KANGAR: Seorang fasilitator motivasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual dengan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa di dewan sebuah sekolah di Padang Besar pada jam 9 pagi, 10 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 11(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Ayuni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000, namun peguam tertuduh merayu jumlah minimum dengan alasan anak guamnya tidak berpendapatan tetap, selain menyara bapa uzur dan kakak yang bergelar ibu tunggal.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen forensik.