Farhash Saman Rafizi RM10 Juta, Dakwa Difitnah Dalam Dua Video

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, berhubung dua video di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah.

Saman berkenaan difailkan pada 10 Oktober lalu, dengan Farhash mendakwa kenyataan Rafizi telah mencemarkan imej serta reputasinya sebagai seorang ahli korporat, selain menjejaskan keyakinan pelabur terhadap syarikat yang dikaitkan dengannya.

“Disebabkan kenyataan itu, saya berdepan kehilangan kepercayaan pelabur, rakan industri dan rakan kongsi perniagaan. Ia turut menjejaskan peluang pelaburan masa depan,” katanya seperti dilapor The Edge.

Menurutnya, beliau juga terpaksa berulang kali memberi penjelasan untuk membersihkan nama baiknya, sambil menegaskan fitnah tersebut menyebabkan dirinya berasa malu dan tercalar maruah sebagai profesional.

Video pertama yang dimuat naik Rafizi pada 25 Julai dikatakan berkaitan dakwaan salah laku penerokaan mineral di Sabah, namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya menegaskan Farhash tidak terlibat dalam sebarang salah laku.

Video kedua pula diterbitkan pada 20 Ogos, apabila Rafizi mendakwa insiden serangan jarum suntikan terhadap anaknya berlaku seminggu selepas beliau bertemu pemberi maklumat yang dikatakan berkait dengan Farhash dan syarikatnya.

Susulan itu, Farhash menuntut Rafizi membuat permohonan maaf secara terbuka, namun Ahli Parlimen berkenaan menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kenyataannya di mahkamah.

Untuk rekod, Farhash merupakan Pengerusi Eksekutif bagi beberapa syarikat tersenarai awam termasuk Apex Equity Holdings Bhd, Excel Force MSC Bhd dan Key Alliance Group Bhd, selain memegang jawatan penting dalam MMAG Holdings Bhd, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, Berjaya Construction Bhd dan Bukit Kiara Resort Bhd.

Beliau juga penasihat kepada Yayasan Usahawan Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles