KUALA LUMPUR: Bekas Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak diumumkan sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd yang baru, berkuat kuasa serta-merta.
The Edge melaporkan Farhash menggantikan Robin Tan Yeong Ching yang berundur untuk “meneruskan minat lain”.
Robin ialah anak taikun, Tan Sri Vincent Tan, iaitu pemegang saham utama rangkaian kedai serbaneka itu dengan 41.8% kepentingan.
Robin dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dan pengerusi lembaga pengarah kumpulan pada 25 Nov 2021.
Menurut 7-Eleven, Farhash memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan khidmat nasihat.
Dalam pemfailan bursa saham hari ini, 7-Eleven berkata, Farhash adalah atau pernah menjadi pengarah, pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta, termasuk Swag Technologies Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.
Beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd minggu lalu.