Farhan Temui Sukarelawan GSF Di Istanbul, Maklumkan Semua Dalam Keadaan Sihat

ISTANBUL: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Farhan Fauzi, hari ini bertemu dengan para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Istanbul, Türkiye.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim.

Menurut Farhan, hampir semua ahli delegasi berada dalam keadaan baik dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, keseluruhan delegasi kelihatan sihat, stabil dan tetap bersemangat meneruskan perjuangan membela rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhan turut berkongsi bahawa semangat yang ditunjukkan para aktivis sukar digambarkan, meskipun mereka kini berdepan pelbagai kekangan selepas misi kemanusiaan tersebut.

“Sebahagian aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka ke laut kerana bimbang ia jatuh ke tangan rejim Zionis. Kini mereka berada jauh dari keluarga, tanpa sebarang alat komunikasi,” ujarnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengamanahkan beliau untuk menyelaras segala urusan bagi memudahkan proses membawa pulang semua sukarelawan Malaysia ke tanah air dengan selamat.

“Kepulangan mereka nanti bukan penamat perjuangan membebaskan Palestin, sebaliknya menjadi simbol keteguhan prinsip Malaysia sebuah negara kecil yang berani menentang kezaliman kuasa besar,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles