Farah Lee Dedah 5 Dron Misteri Ikuti Kapal Misi Gaza

KUALA LUMPUR: Suasana di kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa aktivis antarabangsa ke Gaza dikejutkan dengan kehadiran beberapa dron yang dikesan berlegar di ruang udara berhampiran bot mereka.

Aktivis dan personaliti media sosial, Farah Lee, yang turut menyertai misi kemanusiaan itu berkongsi pengalaman mendebarkan tersebut menerusi siaran langsung di laman TikTok awal pagi tadi waktu Malaysia.

“Sekarang Farah dalam tugasan ‘night watch’. Setakat pukul 8 malam (waktu tempatan), Farah nampak sekurang-kurangnya lima buah dron di sekeliling bot. Suasana atas kapal masih tenang,” katanya.

Farah merupakan salah seorang daripada 34 rakyat Malaysia yang menyertai flotila berkenaan, yang bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menembusi sekatan Israel.

Semalam, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim memaklumkan bahawa semua kapal sukarelawan GSF sudah pun memasuki Zon Kuning 2 pada jam 3 petang waktu Malaysia, dengan kedudukan sekitar 227 batu nautika dari persisiran Gaza.

Beliau menjangkakan konvoi itu akan mula memasuki Zon Merah iaitu kawasan paling berisiko tinggi berhadapan dengan tentera Israel sekitar jam 7 malam ini (waktu Malaysia).

Kehadiran dron yang dikesan aktivis di lokasi laut antarabangsa itu menimbulkan tanda tanya sama ada flotila tersebut kini sedang diawasi pihak tertentu menjelang ketibaan mereka ke Gaza.

BBerkaitan

Latest articles