FAM Serah Dokumen Didakwa Palsu Ke Mahkamah Timbang Tara Sukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah lebih tegas apabila memutuskan untuk membawa isu sekatan Fifa terhadap tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), selepas rayuan awal mereka ditolak badan induk bola sepak dunia itu.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat sejurus pihaknya menerima alasan penuh penolakan rayuan oleh Fifa, yang sebelum ini menegur FAM kerana didakwa “melindungi” pihak bertanggungjawab mengemukakan dokumen palsu berkaitan status kelayakan pemain.

Terdahulu, Fifa mengumumkan siasatan lanjut terhadap operasi dalaman FAM serta menggesa pihak berkuasa tempatan menyiasat isu berkenaan, susulan kontroversi membabitkan tujuh pemain dinaturalisasi Harimau Malaya.

Yusoff menegaskan, membawa kes ke CAS adalah langkah penting bagi “menegakkan keadilan dan mempertahankan integriti proses kelayakan pemain” yang ditetapkan kerajaan serta badan berkaitan.

Katanya, FAM kekal komited memastikan semua pemain layak mendapat hak mewakili negara.

Pada 3 November lalu, Fifa menolak sepenuhnya rayuan FAM, menyebabkan sekatan sedia ada kekal.

Ini termasuk kemungkinan mata Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2027 dipotong susulan dakwaan penggunaan dokumen tidak sah sebelum aksi menentang Vietnam pada 10 Jun.

FAM turut dikenakan denda 350,000 franc Switzerland (RM1.8 juta), manakala setiap pemain iaitu Gabriel Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, dikenakan denda 2,000 franc Switzerland dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

BBerkaitan

Latest articles