Faktor Keselamatan Rakyat Sebab Utama Umrah Ditangguhkan

SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah berkuatkuasa Sabtu ini dilakukan kerana mengambil kira keselamatan rakyat.

Tambahnya lagi, laporan terperinci mengenai penangguhan perjalanan itu akan dibentangkan kementerian berkenaan esok.

“Kementerian Kesihatan akan bentang isu COVID-19 terutama berkaitan varian Omicron dan sebagainya termasuk cadangan atau keputusan yang dibuat mengenai umrah.

“Esok kita akan dapatkan gambaran sebenar cuma saya nak maklumkan tindakan Kementerian Kesihatan lebih kepada nak jaga nyawa kita. Apa-apa pun esoklah dapat laporan terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan banjir di daerah Segamat serta melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Tandong di Buloh Kasap, hari ini.

Turut bersama beliau adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Penangguhan sementara ibadah umrag diumumkan pada Sabtu lalu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai langkah pencegahan penularan dan memperlahankan berlakunya gelombang varian Omicron.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan antara perkara lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat esok adalah mengenai pasca banjir dan persediaan mengatasi gelombang kedua bencana itu sekiranya ia berlaku.

“Semalam saya ada mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa mengenai pasca banjir dan gelombang kedua yang dihadiri semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Kita akan bentangkan kepada Kabinet mengenai keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas jawatankuasa tersebut yang turut dihadiri Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles