“Faisal Budak Baik, Apa Kena-Mengena Dengan Saya?” – TMJ Jawab Isu Serangan Asid

KUALA LUMPUR: Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa penglibatan baginda dalam insiden serangan asid ke atas pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim.

Pemangku Sultan Johor itu sekeras-kerasnya menafikan dakwaan penglibatan beliau sebagai perancang utama di sebalik insiden itu.

Malah Tunku Ismail turut memberitahu baginda tidak mempunyai masalah dengan pemain sayap Harimau Malaya itu.

“Yang pertama sekali budak ini (Faisal) adalah budak baik. Saya tak tahu hidup peribadi dia. Cuma, apa apa yang terjadi kepada dia memang harus kita ‘condemn.’ Tetapi apa kena mengena dengan saya?

“Hingga ada orang kata saya dalang (mastermind) di sebalik insiden itu. Kami JDT lawan dengan Selangor tahun lepas 4-0 (kalahkan Selangor), 4-0, 2-0 dan Faisal Halim main. Jadi Faisal Halim bukan ancaman untuk saya.

“Dia pemain yang bagus, dia pemain kebangsaan dan dia orang yang peramah. Tetapi kita tak tahu hidup peribadi dia, kita tak tahu apa agenda di sebalik serangan itu,” titah baginda menerusi sesi podcast secara langsung pada Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di Johor Bahru, pada Ahad.

Pada 5 Mei lalu, media tempatan melaporkan Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya sehingga menyebabkan kecederaan di badan dan tangannya.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail bertitah, Faisal hanya seorang pemain bola dan bukan seorang penjenayah yang harus menjadi sasaran.

“Kalau saya hendak habiskan orang saya ada target (sasaran) yang lebih besar dalam negara ini. (Individu itu menjadi sasaran ialah) yang ambil duit rakyat… yang menyusahkan rakyat.

“Orang-orang ini lebih penjenayah yang harus dihapuskan bukan pemain bola sepak.
“Perkara seperti itu pun orang nak cakap pasal saya. Macam bapuk buang asid itu, macam lembik.

“Baru-baru ini saya dapat berita bas pasukan Selangor kena serang di Jakarta, itu pun salah saya ke? Takkan semua benda salah saya. Faisal adalah seorang yang baik, dia bukan ancaman kepada kami,” tegas Tunku Ismail lagi.

BBerkaitan

Latest articles