KUALA LUMPUR: Selain masih trauma dengan insiden serangan asid yang berlaku, penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengakui pernah terfikir mahu meninggalkan kerjaya yang diminatinya itu dan pulang sahaja ke kampung demi keselamatan keluarganya.
“Saya beritahu isteri saya, keluarga saya termasuk abang saya, saya tidak kisah hilang gaji puluh ribu dan hendak balik kampung.
“Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat saya tak mahu hidup dalam ketakutan.
“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tidak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya di kemunculan pertamanya di sidang media bersama pengurusan Selangor FC, hari ini.
Pada 5 Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid sehingga disahkan melecur tahap empat.
Pemain itu dilaporkan dalam keadaan agak kritikal pada awalnya namun beransur stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.
Sehingga kini pelaku serangan asid itu masih belum dijumpai.
Dalam pada itu pemain Harimau Malaya itu menambah, dia memiliki hubungan yang sangat rapat dengan anaknya.
Akibat apa yang telah berlaku, Faisal memberitahu dia tidak memeluk anaknya lebih daripada sebulan.
“Bukan perkara mudah kasih sayang seorang ayah apabila lebih sebulan tak dapat peluk dan sayang anak saya. Sehinggalah baru-baru ini dalam empat lima hari ke belakang ini dapat peluk anak saya lagi.
“Saya belum dapat tidur dengan dia lagi. Anak saya semangat, kekuatan saya. Apa jadi saya terima dengan reda dan hati yang terbuka.
“Saya harap saya dapat kembali beraksi untuk memberikan hadiah kepada anak saya,” katanya.
Menerusi sidang media yang sama, anak kelahiran Pulau Pinang belum dapat mengesahkan sama ada dirinya mampu untuk kembali bermain bola sepak selepas menjadi mangsa simbahan asid itu.
Namun dia mengharapkan semua pihak mendoakannya untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kembali ke padang.