KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengakui isu 5G tidak dapat diselesaikan dalam sekelip mata, namun beliau yakin ia perlu diselesaikan segera sebelum melangkah ke era rangkaian 6G yang menurutnya masih awal bagi Malaysia.
Menurut Fahmi, ketika ini semua pihak perlu menunggu keputusan Jemaah Menteri berhubung hala tuju pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB),
Jelas beliau, kementeriannya dan Kementerian Kewangan telah membincangkan pelaksanaan projek tersebut dalam mesyuarat semalam dalam usaha mencari penyelesaian segera.
“Kita masih perlu selesaikan segera supaya rakyat, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menggunakan infrastruktur ini yang akan membantu melonjakkan aktiviti perniagaan industri atau kehidupan seharian,” katanya dalam temu bual Bicara Naratif bertajuk ‘Membina Naratif Baharu’ terbitan Berita RTM di Angkasapuri, malam tadi.
Sementara itu, Fahmi. yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mengutamakan penyelesaian terhadap masalah rakyat berbanding fokus terhadap jenama atau slogan baharu bagi setiap kementerian.
Katanya, perkara itu adalah berdasarkan kesedaran bahawa rakyat tidak lagi dahagakan barisan kepimpinan yang berfokuskan retorik semata-mata, malah mahukan kerajaan yang mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
“Orang tidak mahu dengar retorik dan slogan. Malah itu teguran perdana menteri, beliau kata janganlah kita ada jenama baharu. Kita fokus untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akronim yang akan digunakan bagi Kementerian Komunikasi dan Digital kini adalah KKD.