Fahmi Bidas Pandangan Rafizi Supaya PH Jadi Pembangkang Bermaruah

KUALA LUMPUR: Nampaknya beberapa pemimpin di dalam PKR seolah-olah kurang senang dengan kemunculan semula Rafizi Ramli dalam arena politik parti, yang juga bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti kali ini.

Calon Naib Presiden PKR, Fahmi Fadzil berkata, PKR atau Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menyerah kalah sewenang-wenangnya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU) akan datang.

Reaksi Ahli Parlimen Lembah Pantau itu merujuk kepada kenyataan Rafizi baru-baru ini bahawa adalah lebih baik bagi PKR dan PH berpuas hati untuk kekal sebagai “pembangkang yang bermaruah” berbanding menghebohkan keyakinan untuk menang dalam pilihan raya yang dijangka semakin hampir.

“Secara peribadi, saya percaya dalam bersikap realistik kita juga perlu pragmatik (bersifat praktikal) bahawa kemenangan tidak datang begitu sahaja dan kekalahan juga takkan berlaku begitu sahaja.

“Kita menang atau kalah memang resepinya adalah perancangan, usaha dan ikhtiar,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi mendakwa PKR yakin PH mampu menawan semula Putrajaya, namun ia bergantung kepada strategi dan ikhtiar gabungan itu untuk melangkah ke depan.

“Saya lihat ada satu keadaan, kita mungkin boleh menang (menawan semula Putrajaya) namun jumlahnya (kerusi Parlimen) bergantung kepada apakah usaha, ikhtiar dan strategi kita ke depan,” katanya.

Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden. Beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.

Bagaimanapun Rafizi mengumumkan bersara daripada politik pada Disember 2019 kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan teknologi.

Beliau kembali aktif dalam arena politik akhir-akhir ini selepas akar umbi mendesaknya membantu persiapan PKR untuk menghadapi PRU15.

Semalam, beliau mengesahkan akan mencabar Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bagi merebut jawatan nombor dua parti dalam pemilihan bagi penggal 2022-2025 pada Mei ini.

BBerkaitan

Latest articles