KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bakal berpindah ke peringkat Persekutuan dalam masa terdekat disangkal sepenuhnya oleh pimpinan PKR.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa Amirudin, yang juga Naib Presiden parti, sudah menyatakan komitmen untuk terus mentadbir Selangor sehingga tamat penggal.
“Kalau dengar sendiri apa yang dia sebut, Amirudin berhasrat menghabiskan penggal sebagai Menteri Besar. Tidak timbul langsung isu dia mahu ke Persekutuan sekarang,” kata Fahmi ketika ditemui selepas Majlis Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi menambah, sebarang perubahan masa depan akan diputuskan oleh kepimpinan parti mengikut keperluan politik semasa.
Penegasan Fahmi itu seiring dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menolak spekulasi kononnya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bakal menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar.
Anwar menyifatkan gosip politik tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.
Kontroversi itu bermula apabila Amirudin dalam sesi audio siar ‘Keluar Sekejap’ bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan mendedahkan bahawa beliau pernah mencadangkan Nurul Izzah menggantikan tempatnya suatu masa dahulu.
Amirudin bagaimanapun menegaskan cadangan itu disuarakan secara peribadi dan terpulang kepada Nurul Izzah untuk mempertimbangkannya.










