Fadillah Balas Tun M, Bawa Ke Mahkamah Jika Benar PRU15 ‘Paling Korup’

KUALA LUMPUR: Dakwaan boleh dibuat di mahkamah sekiranya masih ada pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mengaitkannya dengan amalan rasuah.

Hal itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan berkata, bukti yang mengaitkan kemenangan kerajaan hari ini dengan amalan rasuah perlu dibuktikan jika pihak tersebut mengaitkan dakwaan bahawa PRU itu patut dibatalkan.

“Dalam proses pilihan raya Malaysia, jika dapat buktikan mereka boleh failkan di mahkamah, ini prosedurnya dan ikutilah.

“Tapi kalau sekadar cakap, saya kira mungkin ramai yang boleh cakap, tapi nak bawa ke mahkamah itu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan segala peraturan kita.

“Jadi bawalah kalau siapa tidak puas hati dan buktikan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi, hari ini.

Fadillah berkata, kerajaan juga mempunyai agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan yang boleh melaksanakan tugas dan peranan mereka.

“Biarlah agensi berkenaan melaksanakan tugas dan peranan mereka kalau terbukti untuk membawa siapa-siapa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Twitternya semalam yang menyifatkan pilihan raya umum pada November lalu sebagai ‘yang paling korup berbanding semua pilihan raya diadakan di Malaysia’.

Mahathir berkata, sumber dana parti perlu dipersoal, dan siasatan dilakukan jika calon atau parti berbelanja mewah.

Beliau menggesa supaya had dikenakan terhadap perbelanjaan parti politik ketika pilihan raya bagi mengekang amalan rasuah.

Katanya, walaupun perbelanjaan untuk calon individu dihadkan kepada RM200,000 ketika tempoh kempen, tiada had dikenakan bagi perbelanjaan parti dalam pilihan raya.

Latest articles

Related articles

spot_img