Fadhli Dipanggil Beri Keterangan Berkenaan Himpunan Selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Fadhli Shaari memaklumkan polis memanggil dirinya untuk memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi jam 11 pagi ini bagi membantu siasatan berkaitan himpunan Selamat Malaysia, 16 September lalu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, ini merupakan kali ketiga beliau dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh sebulan.

“Saya akan hadir ke Balai Polis Dang Wangi jam 11 pagi ini untuk memberikan keterangan selepas dipanggil oleh pihak polis berhubung isu Himpunan Selamatkan Malaysia.

“Alhamdulillah pihak polis sangat profesional dalam menjalankan tugas, namun kerana ada laporan, siasatan perlu dibuat,” katanya di Facebook.

Fadhli memberitahu pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

“Kita bagi kerjasama dan pihak ‘sana’ teruskanlah buat laporan dan tekanan. Mana tahu tiba-tiba jadi pembangkang semula, tiada peluang pula nak bagi tekanan,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pihaknya telah merakam keterangan 11 individu yang dikenal pasti terlibat dalam himpunan berkenaan.

Antara yang hadir memberi keterangan termasuk Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Faisal Ismail Aziz; Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Adun Taman Medan, Afif Bahardin.

Himpunan Selamatkan Malaysia berlangsung pada 16 September lalu dengan peserta berkumpul di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan bergerak beramai-ramai ke Sogo, sebelum diakhiri dengan laporan polis oleh sekretariat.

Susulan perhimpunan itu polis membuka tiga kertas siasatan dan memanggil beberapa individu untuk hadir memberi keterangan untuk disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman.

BBerkaitan

Latest articles