KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu Facebook, TikTok, WhatsApp, dan Telegram dikenal pasti sebagai pilihan utama scammer melakukan penipuan dalam talian.
Beliau berkata, menerusi empat platftom itu mencatatkan jumlah penipuan mencecah jutaan ringgit.
Tambah Fahmi, kebanyakan mereka menjadi mangsa kepada scammer melalui Facebook.
“Bagi 2023, jumlah penipuan melalui Facebook sahaja dianggarkan mencecah RM500 juta. Setakat ini, maklumat terkini masih belum diperoleh tetapi secara keseluruhannya jumlah itu jauh lebih besar,” katanya.
Katanya berdasarkan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, terdapat lebih kurang 14 jenis penipuan yang dilakukan melalui media sosial. Selain itu, terdapat juga jenayah scam dalam bentuk panggilan telefon dan pertemuan bersemuka.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihsan Madani, di Kampung Baru Nelayan, Tumpat Kelantan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata populariti empat platform media sosial tersebut dalam kalangan rakyat menjadi pendorong utama penjenayah melakukan penipuan, memandangkan ramai pengguna mudah terpedaya.
Beliau memaklumkan kempen kesedaran secara besar-besaran akan dilaksanakan dalam masa terdekat, bermula di peringkat sekolah.
“Kempen ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa dan pelajar mengenai penggunaan media sosial yang selamat serta cara mengelak daripada menjadi mangsa scam,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata beberapa langkah telah diambil menangani isu ini, termasuk melesenkan platform media sosial, mengetatkan peraturan, serta memperkenalkan takrif baharu jenayah penipuan menerusi pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang telah diluluskan dalam sidang Dewan Negara, baru-baru ini.
“Kami percaya langkah ini akan membantu pihak polis dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas, sekali gus mengurangkan jenayah penipuan daripada terus berlaku,” katanya.