Exco Tidak Boleh Ketepi DKU, UUTKNS Dalam Isu Takhta Tuanku Muhriz – Undang Rembau

SEREMBAN: Kenyataan Exco Negeri Sembilan yang didakwa mengisytiharkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ditolak Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid.

Hassan menegaskan, pertikaian sebenar bukan sekadar mengenai pengisytiharan pelucutan takhta, sebaliknya melibatkan persoalan sama ada empat undang terdahulu telah menjalankan siasatan terhadap sebarang salah laku yang boleh menjadi asas untuk melucutkan takhta baginda.

Menurut beliau, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah memutuskan bahawa siasatan sedemikian tidak pernah dijalankan, selain Tuanku Muhriz tidak diberikan notis atau peluang untuk didengar.

“Keadaan ini menyebabkan wujud kecacatan fundamental terhadap proklamasi berkenaan yang dibuat pada April lalu,” katanya dalam kenyataan.

Hassan berkata, ketetapan DKU berkaitan hal ehwal adat adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk mengetepikan keputusan DKU berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Beliau turut mendakwa tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak lagi memegang jawatan undang mengikut adat luak masing-masing pada tarikh dokumen itu ditandatangani.

“DKU telah mengambil pendirian bahawa tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi tersebut tidak lagi memegang jawatan undang menurut adat luak masing-masing pada tarikh material,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan mempersoalkan kesahihan proklamasi terbaharu yang ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Katanya, kesahihan dokumen itu sendiri telah dipertikaikan oleh Ismail, yang sebelum ini menyifatkannya sebagai tidak sah serta ditandatangani di bawah tekanan.

Hassan mengakui Exco mempunyai fungsi dan bidang kuasa tersendiri dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kuasa tersebut tidak boleh digunakan untuk menggantikan, mengetepikan atau menyempurnakan proses yang diwajibkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

“Exco tidak boleh melalui suatu keputusan kolektif atau kenyataan media menggantikan, mengetepikan atau menyempurnakan proses yang diwajibkan oleh UUTKNS.

“Semua pihak hendaklah menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya.

“Tiada individu, institusi pentadbiran atau mesyuarat Exco yang boleh meletakkan dirinya mengatasi UUTKNS,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles