PUTRAJAYA: EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, menyuarakan cadangan agar Khairy Jamaluddin dapat dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau percaya seandainya cadangan itu dapat dijanjikan, rakyat Malaysia dan pengundi muda khususnya akan melihat sebuah jaminan perubahan besar parti UMNO dan BN.
“Saya melihat bagaimana Khairy begitu diterima orang Sungai Buloh seolah-seolah kini hanya Sungai Buloh yang ada pilihan raya.
“Ini jelas, kenapa KJ (Khairy) diterima oleh setiap golongan lapisan masyarakat.
Ini adalah kerana kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang diterajuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau berpandangan cadangan itu jika dapat diumum antara lain mampu menjamin kemenangan besar BN.
Tambah Muqharabbin, orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti.
Justeru itu, katanya BN perlu berani menonjolkan dinamik dengan memberi ruang kepada pemimpin muda seperti Khairy.
“Saya yakin, seandainya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sudah diputuskan parti sebagai Perdana Menteri, berani dan yakin meletakkan Khairy sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Saya percaya sepenuhnya dengan izin Allah SWT BN akan menang besar.
“Ini kerana negara akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal, bahkan juga antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, semalam Khairy secara terbuka menyatakan hasratnya untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
Beliau berkata demikian menerusi ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU15 ini.