Exco Melaka Angkat Sumpah, jawatan timbalan exco diwujudkan semula

MELAKA — Tiga muka baharu termasuk seorang daripada Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan Melaka, hari ini, manakala dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada barisan exco sebelum ini, digugurkan.

Adun Kesidang Seah Shoo Chin dari DAP yang menjadi wakil tunggal PH dan dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, merupakan antara 10 barisan Exco negeri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dalam istiadat bermula 8 pagi tadi.

Manakala Dua lagi muka baharu ialah Adun Asahan Fairul Nizam Roslan yang dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital; dan Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.

dua Adun yang digugurkan pula ialah Adun Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan serta Adun Serkam Datuk Zaidi Attan yang menjawat jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Selain tiga muka baharu itu, Adun lain yang mengangkat sumpah hari ini ialah Adun Paya Rumput Datuk Rais Yasin sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; dan Adun Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.

Turut mengangkat sumpah ialah Adun Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti) dan Adun Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama).

Sementara Adun Machap Jaya Ngwe Hee Sem dilantik sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan serta Adun Gadek VP Shanmugam, sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan  Ab Rauf Yusoh sendiri yang memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam pada itu, menurut Rauf Jawatan timbalan exco Melaka yang sebelum ini dimansuhkan pada 2018 diwujudkan semula.

Katanya, jawatan itu akan dianggotai semua Adun kerajaan untuk membantu exco yang dilantik mengikut portfolio ditetapkan.

” ia diwujudkan semula bagi memberi peluang kepada semua Adun untuk sama-sama berperanan membangunkan Melaka mengikut acuan kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan”

“Saya akan melantik timbalan exco yang komposisinya cantik dan menarik dan akan mengumumkannya selepas mesyuarat exco pertama esok,” katanya

Pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka direalisasikan menerusi pelantikan 10 exco termasuk seorang daripada DAP.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Melaka dijangka mewujudkan jawatan timbalan exco membabitkan beberapa portfolio penting, selain memberi bayangan beberapa muka lama akan digugurkan.

Katanya, barisan exco dilantik turut diisi parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat pusat, selain wakil BN sendiri.

BBerkaitan

Latest articles