Exco Didakwa Pukul Isteri: KM Serah Pada Polis

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis berhubung dakwaan melibatkan seorang Exco kerajaan negeri yang dikatakan memukul isterinya dalam satu insiden di Pantai Jerejak, 22 Februari lalu.

Kon Yeow memaklumkan beliau telah menerima mesej daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan yang memohon maaf atas kejadian tersebut.

Exco terbabit menjelaskan insiden itu sebagai masalah rumah tangga antara suami dan isteri.

“Beliau memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah beliau, pihaknya turut dimaklumkan bahawa kedua-dua pasangan berkenaan telah menarik balik laporan polis masing-masing berhubung insiden itu.

Ketika ditanya sama ada Exco berkenaan akan direhatkan sementara daripada tugas, Kon Yeow enggan membuat sebarang keputusan tergesa-gesa dan memilih untuk menunggu perkembangan lanjut.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menghormati sebarang keputusan atau tindakan yang bakal diambil oleh pasangan tersebut, termasuk jika terdapat perancangan lanjut yang dimaklumkan kepada kerajaan negeri atau parti.

“Buat masa ini, kita beri ruang kepada mereka untuk menentukan langkah terbaik demi keluarga masing-masing,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Tahlil dan Buka Puasa Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling sebelum diminta mengulas isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles