Eropah Ancam Sekatan, Anwar Jawab Malaysia Tak Perlu Takut

KUALA LUMPUR: Wujud usul sekatan daripada Eropah untuk negara ini, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Anwar menegaskan Malaysia tidak perlu gentar dengan ugutan pihak berkenaan walaupun mereka tidak senang dengan kelantangan negara ini dalam menyuarakan nasib rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa penindasan rejim Zionis.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar menyatakan, wujud seorang Ahli Parlimen dari Eropah yang dipercayai mengusulkan sekatan terhadap Malaysia.

“Ada ahli Parlimen Eropah yang bangkitkan, ada usul langsung berhubung sekatan terhadap Malaysia daripada salah seorang ahli Parlimen Eropah.

“Ia tidak menjadi masalah (bagi pihak Malaysia) jadi kita jangan hiraukan soal itu (usul sekatan), kita hanya ada urusan kerja dan kita akan teruskan.

“Kita terpaksa menyuarakan pandangan (berhubung penindasan Israel terhadap Palestin) daripada Malaysia,” katanya selepas ditemui ketika hadir melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU), hari ini.

Menurut beliau, kekejaman yang menimpa rakyat Palestin merupakan soal hak kemanusiaan yang perlu diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

Ditanya mengenai soal ancaman dan risiko, Anwar menyatakan tiada perkara yang perlu dibimbangkan kerana negara masih mempunyai aspek keselamatan yang baik.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ada, mereka (PDRM) akan uruskan. Kita tak akan bimbang, akan teruskan kerja kita,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles