Enam Parti Keluarkan Kenyataan Bersama Sokong Tubuhkan Perikatan Nasional

Enam parti sepakat semalam untuk menyokong langkah untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) melalui satu kerjasama gabungan parti-parti politik dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka.

Parti-parti berkenaan ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Dalam satu kenyataan bersama, ia menyebut memorandum yang dirangka akan memfokuskan kepada lima dasar tujuan utama.

“Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip Rukun Negara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif dan bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Selain itu, memorandum berkenaan juga dirangka untuk memperkukuhkan semangat perkongsian Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik, kesejahteraan negara.

BACA JUGA – Barisan Nasional Ulangi Sokongan Kepada Muhyiddin Yassin Sebagai Perdana Menteri

“Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani kesemua pemimpin enam parti berkenaan iaitu YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan. – TRI

BBerkaitan

Latest articles