Enam Laporan Polis Dibuat Ke Atas Tiga Penyampai ERA FM

KUALA LUMPUR: Polis telah membuka kertas siasatan terhadap petugas radio Era FM milik Astro selepas tularnya sebuah video yang didakwa mempermainkan upacara keagamaan Hindu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, berkaitan perlakuan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian, perpecahan atau kebencian atas alasan agama.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dalam talian.

Menurut beliau, pihak polis telah menerima enam laporan mengenai insiden berkenaan, dengan laporan pertama dibuat oleh seorang jurutera berusia 44 tahun yang menemui video tersebut di Facebook.

“Pengadu mendakwa beberapa individu dalam video itu menjerit ‘Vel Vel’, manakala seorang lagi dilihat menari. Beliau membuat laporan polis kerana menganggap kandungan video tersebut menyentuh sensitiviti perkauman dan mempermainkan agama Hindu,” katanya ketika dihubungi.

Hasil siasatan mendapati video itu telah dipadamkan daripada platform media sosial Era FM.

Bagaimanapun, sebelum dipadam, ia telah ditonton sebanyak 95,400 kali dan dikongsi oleh 204 pengguna.

Pihak terbabit dalam rakaman tersebut juga telah mengeluarkan permohonan maaf rasmi menerusi laman Facebook Era FM.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci.

Pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu turut dipanggil ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh mengenai insiden tersebut.

Dalam satu kenyataan, pengurusan stesen radio, Astro Audio, mengesahkan bahawa ketiga-tiga penyampai radio terbabit—Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin—telah direhatkan daripada ke udara sehingga siasatan dalaman selesai.

Astro Audio turut menzahirkan kekesalan atas kejadian tersebut dan menegaskan bahawa mereka memandang serius isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles