“Empat Tahun Telah Berlalu, Sepakatlah Undi BN Sabtu Ini”

KUALA LUMPUR: Para pengundi diingatkan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing Sabtu ini, selain menasihatkan tidak berpecah dan memahami Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan yang wajib dimenangkan pada PRU15.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga merayu rakyat Malaysia untuk tidak lagi terjerat dengan fitnah pembangkang kali ini.

“Empat tahun telah berlalu, jangan ada penyokong BN terkhilaf lagi kerana PRU15 penentu masa depan negara.

“Sepakatlah undi BN, Insya-Allah membawa berkat. Kepada Allah S.W.T kita mohon pertolongan selepas segala daya upaya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Ahmad Zahid juga melahirkan harapannya agar peristiwa hitam 9 Mei 2018 tidak akan terjadi lagi pada 19 November ini.

“Ketika itu baru semua sedar mereka tertipu, tetapi sudah terlambat kerana negara telah pun dikuasai oleh sebuah kerajaan gagal.

“Kerajaan yang terbentuk atas tipu daya dan tujuannya cuma untuk menamatkan riwayat BN serta pemimpinnya dengan mengenakan pertuduhan politik ke atas pemimpin yang setia, manakala yang melompat terlepas penganiayaan,” katanya.

Beliau meminta rakyat termasuk pengundi BN menyaksikan bagaimana parti mampu bangkit semula dengan mencipta kemenangan pada dua Pilihan Raya Negeri di Johor dan Melaka.

BBerkaitan

Latest articles