MELAKA: Empat pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Alor Gajah minggu lalu tetap dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 3 November ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, urusan tindakan undang-undang diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi tumpuan kepada aspek disiplin, sokongan ekosistem sekolah dan masa depan pendidikan pelajar terbabit.
“Ya, mereka tetap akan ambil SPM pada 3 November. Kita akan pastikan mereka tidak tercicir dalam pendidikan. Mangsa pula masih dirawat di hospital dan kita beri sokongan psikososial sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat perkembangan kes di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Bukit Beruang, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad; Exco Pendidikan Negeri, Datuk Rahmad Mariman; dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Fadhlina berkata, sesi taklimat hampir dua jam itu turut membincangkan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, termasuk pengukuhan sokongan kaunselor di sekolah.
“Sekolah ini antara yang terbaik di Melaka. Jadi, fokus kita adalah memastikan guru dan calon SPM tidak terganggu dengan kes ini,” ujarnya.
Beliau menambah, KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju melaksanakan intervensi menyeluruh bagi menangani salah laku pelajar secara lebih tegas dan sistematik.
Dalam masa sama, Fadhlina mengingatkan masyarakat supaya menghormati undang-undang melibatkan kanak-kanak dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi mangsa atau suspek.
“Kes ini tertakluk di bawah bidang undang-undang kanak-kanak. Setiap maklumat peribadi mereka perlu dilindungi,” tegasnya.