Empat Pelajar Malaysia Cedera dalam Kemalangan Di Jordan

KUALA LUMPUR: Empat pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di negara itu, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, mengesahkan bahawa dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor.

Mereka merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.

“Saya menerima maklumat daripada Atase Pendidikan Johor di Kedutaan Mesir bahawa empat pelajar Malaysia, termasuk dua dari Johor, mengalami kemalangan di Jordan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi pelajar yang turut terlibat dalam insiden itu berasal dari Selangor dan Wilayah Persekutuan. Pelajar Johor yang dikenali sebagai Muhammad Zakwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian@Zulkarnian dilaporkan berada dalam keadaan stabil, bersama seorang lagi pelajar dari Selangor.

Bagaimanapun, seorang pelajar dari Wilayah Persekutuan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Jordan.

“Kita doakan agar kesemua pelajar ini segera sembuh dan dapat meneruskan pengajian mereka seperti biasa,” tambah Mohd Fared.

BBerkaitan

Latest articles