KUALA LUMPUR: Cubaan empat individu warga Afghanistan, dipercayai satu keluarga, untuk memasuki Malaysia menggunakan visa palsu berjaya digagalkan, menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Dalam kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan empat individu itu merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Menurut AKPS, keempat-empat individu berkenaan, iaitu seorang lelaki dan tiga wanita dewasa dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal yang menimbulkan kecurigaan anggota Unit Pemantau KLIA Terminal 1.
“Berdasarkan siasatan awal, empat individu terbabit tiba di Malaysia pada 9.20 malam, 24 Julai lepas menerusi penerbangan Emirates Airlines EK342, namun gagal melaporkan diri di kaunter imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Difahamkan, mereka telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.
AKPS memaklumkan hasil semakan lanjut dokumen perjalanan mereka mendapati semua visa yang digunakan adalah palsu.
“Dalam siasatan lanjut, kesemua mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit, visa palsu itu diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran sebanyak USD6,000 (RM25,386.00),” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, AKPS telah mengambil tindakan menolak kemasukan terhadap keempat-empat individu berkenaan dan akan dihantar balik ke negara asal pada 30 Julai ini melalui penerbangan Emirates Airlines. — BERNAMA