TAWAU: Barisan Nasional (BN) meneruskan gerak kerja pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dengan mendekati komuniti Cina melibatkan pertemuan bersama kira-kira 35 hingga 40 penduduk tempatan.
Calon BN bagi DUN Apas, Dr. Elmiariezan Ardan berkata, sesi libat urus itu memberi peluang untuk mendengar secara langsung isu serta keperluan masyarakat, yang dianggarkan merangkumi lebih 3,000 pengundi Cina di kawasan berkenaan.
“Kita santuni mereka, kita tanya apa masalah dan isu berbangkit. Ada beberapa isu yang telah disampaikan, dan kita akan bincang semula serta bantu apa yang kita mampu,” katanya.
Menurutnya, isu yang sering dibangkitkan termasuk keperluan menaik taraf infrastruktur asas, membaiki keadaan jalan, menambah baik bekalan elektrik, menangani isu setinggan serta menyelesaikan masalah pembuangan sampah yang didakwa semakin ketara.
Ditanya mengenai kerjasama antara parti dalam gabungan BN, Elmiariezan berkata, perbincangan bersama MCA dan PBRS telah diadakan dan kedua-duanya komited membantu dalam usaha mendekati pengundi Cina di kawasan itu.
Mengenai cabaran berdepan calon popular di Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, beliau menegaskan BN berada dalam posisi kukuh berdasarkan maklum balas pengundi yang mahukan perubahan serta penglibatan aktif golongan muda.
“Keyakinan kita amat tinggi kerana adanya suara untuk perubahan dan sokongan anak muda. Kita target anak muda, belia dan pengundi di akar umbi,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengundi Cina kekal sebagai kumpulan penting yang akan terus diberi perhatian sepanjang kempen.










