Elak Terpedaya Sertai Anugerah Diragui Pengiktirafannya

KUALA LUMPUR: Jika anda merupakan satu pemain industri di Malaysia yang sudah lama bertapak dan beroperasi di negara ini, adakah anda berminat menyertai satu majlis anugerah yang diragui pengiktirafannya?

Adakah anda akan percaya dengan satu badan yang secara tiba-tiba wujud dan kemudian mendakwa mereka adalah badan utama yang menaungi satu-satu industri di negara ini?

Difahamkan pada 16 Disember nanti akan diadakan satu majlis anugerah industri pelancongan yang digelar Anugerah Industri Pelancongan Malaysia di sebuah hotel terkemuka yang terletak di ibu negara.

Majlis anugerah ini dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA).

Menurut laman web persatuan tersebut, ia mula ditubuhkan pada 2019. Badan berkenaan juga mendakwa mereka ialah persatuan yang paling utama bagi penggiat industri pelancongan di Malaysia.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati MATA ditubuhkan oleh beberapa individu yang sebelum ini menganggotai beberapa badan industri pelancongan yang sudah lama bertapak tetapi dipecat oleh kerana ada perbuatan mereka melanggar peraturan persatuan itu yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dan kemudian mereka mengambil tindakan menubuhkan satu entiti baharu untuk tujuan yang sama.

Mereka sebelum ini menerima tindakan dipecat keahlian dari jawatan mereka.

Hasil pemeriksaan mendapati persatuan MATA juga tidak ada ahli yang terdiri daripada agensi pelancongan dan persatuan berkenaan juga dilihat tidak pernah menjalankan apa-apa program sebelum ini.

Difahamkan, majlis anugerah nanti merupakan satu anugerah berbayar yang mengkehendaki para pemenang membayar sejumlah wang terlebih dahulu untuk membeli pakej penerimaan anugerah dan meja pada majlis berkenaan.

Proses penilaian dan pemilihan pemenang amat meragukan kerana persatuan itu tidak memiliki ahli dan sebelum ini rekod mereka tidak pernah mengadakan sebarang program berkaitan industri pelancongan.

Adakah anda sebagai pemain industri sanggup mengeluarkan wang dan mengambil risiko untuk menyertai majlis anugerah berkenaan?

Adakah penganjuran majlis anugerah ini oleh MATA benar-benar diiktiraf oleh pihak kementerian? Jangan mudah diperdaya dengan satu-satu program yang meletakkan lambang Jata Negara di laman web dan poster mereka.

Bagi pemain industri pelancongan yang sudah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di Malaysia, elok berhati-hati dan elak dari terpedaya menyertai majlis anugerah yang diragui status penganjurannya.

BBerkaitan

Latest articles