Elak Pembaziran Dalam Penganjuran Program Ramadan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur agensi dan jabatan kerajaan agar mengelakkan pembaziran dalam penganjuran program sepanjang Ramadan, termasuk majlis berbuka puasa atau iftar.

Beliau menekankan bahawa program seumpama itu tidak seharusnya dilakukan secara bermewah-mewahan, sebaliknya perlu lebih sederhana agar semangat dan nilai Ramadan dapat benar-benar dihayati.

“Kadang-kadang jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan memulakan Ramadan dengan memberi sumbangan, itu kita galakkan.

“Tetapi saya perhatikan ada yang menggunakan perkakasan berlebihan, seperti kotak yang sangat indah tetapi hanya diisi dengan kurma. Jika harga kotak lebih mahal daripada kurma, itu satu pembaziran,” katanya dalam ucapan sempena Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac 2025 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, hari ini.

Anwar menegaskan bahawa dana yang digunakan untuk kemewahan boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Selain itu, beliau turut menggalakkan penjawat awam untuk memperbanyakkan pembacaan dan memahami mesej al-Quran sepanjang Ramadan.

Menurutnya, bulan Ramadan bukan sekadar waktu untuk beribadah, tetapi juga untuk mengukuhkan nilai integriti, disiplin, dan kejujuran dalam kehidupan seharian.

BBerkaitan

Latest articles