Elak Kesan Masa Hadapan Dana Pencarum, KWSP Turut Sokong Tiada Lagi Pengeluaran i-Citra

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tegas dengan prinsip kewujudannya sebagai sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

Sehubungan itu, KWSP menyokong tiada lagi langkah ke arah pengeluaran khas di bawah skim i-Citra, demi menjamin masa depan persaraan pencarum di negara ini.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

KWSP turut memaklumkan tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

Skala dan kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Lebih lanjut, skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada bulan Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif ini telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

KWSP menjelaskan, sehingga Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini, bersamaan 22% daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Di kala ada yang ‘bernafas’ dengan kelonggaran pengeluaran dana ini, namun hakikatnya ia telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sekaligus tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Malah rekod KWSP mencatatkan golongan Bumiputera adalah pengeluar terbesar dana berkenaan.

Akibat daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000 dan ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun.

Selain daripada penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

”Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

KWSP bimbang kemelesetan kepercayaan terhadap organisasi akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak lantas memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

Jelasnya, pengurusan keselamatan pendapatan hari tua kekal sebagai mandat utama dan panduan kepada KWSP dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik.

Malaysia mempunyai sembilan tahun sahaja lagi untuk mencapai status negara menua pada tahun 2030.

Jumlah warga emas yang memerlukan sokongan kerajaan akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada tahun 2021 kepada 5.3 juta ataupun

15% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2030 dan 7.4 juta ataupun 21% daripada keseluruhan penduduk pada tahun 2042, seterusnya memberikan cabaran dalam merangka dasar dalam aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan.

Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.

KWSP berkata, ketika negara sedang membina semula ekonomi dan orang ramai telah kembali bekerja, tumpuan utama kini adalah untuk memulih dan membina semula simpanan KWSP.

Fokus KWSP kini untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya dan memastikan ahli turut memulihkan dan membina semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa.

Kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah tidak perlu.

BBerkaitan

Latest articles