Ekstradisi Sirul Azhar Boleh Dilakukan Jika Pihaknya Buat Permohonan, Sabitan Hukuman Ditukar

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Sirul Azhar Umar hanya boleh dibawa pulang ke negara ini jika sabitan hukuman mati bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 ke atasnya ditukar kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat.

Bahkan peguam yang mewakilk anggota Unit Tindakan Khas itu juga boleh membuat permohonan semakan di mahkamah bagi membolehkan proses ekstradisi atau membawa pulangnya dilakukan.

Sehubungan itu mahkamah akan mengikut budi bicaranya, selain hakim akan melihat pertimbangan dalam langkah itu memandangkan negara telah mengubah hukuman mati mandatori baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution mengesahkan pihaknya tidak mempunyai maklumat terkini sama ada pihak Sirul Azhar tekah memohon kepada mahkamah untuk semakan hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

“Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah beliau melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan.

“Sekarang, ada 1,267 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, dan kira-kira 900 lebih sudah kemuka semakan semula hukuman. Sebab sabitan tak berubah, daripada hukuman mati misalnya kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

“Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan untuk ruang ini. Kalau itu sudah dibuat, barulah boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tapi hukuman berubah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Pejabat Peguam Negara dan mahkamah sebelum membuat keputusan membawa pulang Sirul Azhar.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution mengakui, wujud kekangan Malaysia untuk melaksanakan proses itu memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya biarpun kedua-dua mempunyai perjanjian ekstradisi.

“Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati, manakala Australia pula sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah di negara mereka.

“Antara syarat ekstradisi, dia ada banyak untuk boleh dilaksanakan di mana kesalahan terbabit mestilah ada elemen ‘dual criminality’, iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman yang sama. Jadi walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, ia ada satu perbezaan di situ.

“Seterusnya, kita juga ada banyak perjanjian ‘Mutual Legal Agreement’ (MLA), termasuk dengan Australia (yang dipanggil) ‘Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002’. Namun, prinsip ‘dual criminality’ masih terpakai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles