Kesemua 53 kru KRI Nanggala-40 disahkan terkorban selepas kapal selam itu dipercayai pecah kepada tiga bahagian.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto.
Katanya, berita menyedihkan itu disahkan berdasarkan bukti-bukti yang ditemukan sepanjang usaha mencari dan menyelamat kapal selam itu dijalankan sejak Rabu lalu.
“Dengan dukacitanya dimaklumkan semua anak kapal KRI Nanggala-402 sudah terkorban selepas kapal selam itu tenggelam.
“Beberapa bahagian badan kapal selam juga sudah ditemukan berdasarkan visual bawah air yang dilakukan oleh kapal tentera Singapura, MV Swift,” katanya.
Jelas beliau, antara bahagian yang dikenal pasti termasuk bahagian belakang dan luar badan kapal selam, sauh serta jaket keselamatan anak kapal.
Kapal selam tersebut dilaporkan terputus hubungan pada Rabu laku sebelum disahkan tenggelam.
KRI Nanggala-402 dipercayai tenggelam pada kedalaman 838 meter.
Berikut adalah antara gambar yang disiarkan semasa sidang media berkenaan
Dalam pada itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sedih dengan berita pemergian para perajurit Indonesia yang terlibat dalam tragedi kemalangan Kapal Selam KRI Nanggala-402 di utara perairan Bali.
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan seluruh rakyat Indonesia susulan tragedi kemalangan itu.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi ujian dan dugaan yang besar pada bulan Ramadan ini.
“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa,” kata kenyataan itu hari ini.