Ekonomi Madani Sinar Harapan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR: Ekonomi Madani yang dilancarkan hari ini diharap memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang masih berdepan dengan kesukaran sepanjang pasca pandemik Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyifatkan Ekonomi Madani yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan memperkasa rakyat, sekaligus menterjemahkan komitmen kerajaan untuk menghadapi cabaran ekonomi negara.

“Saya amat teruja dengan apa yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.

“Ianya menterjemahkan selama ini apa yang telah beliau bentangkan di dalam beberapa pidato dan juga ucapan-ucapan politik.

“Ini kerana rakyat mengharapkan apa bentuk pelaksanaan yang dilakukan, jelas pada hari ini beberapa pelaksanaan terhadap perancangan baharu,” katanya kepada pemberita di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sempena Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri hampir dua jam, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan membentangkan secara terperinci Ekonomi Madani menerusi kementeriannya, Isnin ini.

“Saya sendiri sebagaimana yang diumumkan ini akan membentangkan agenda terperinci Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Isnin ini, bagaimana pelaksanaan pada apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Zahid juga percaya Ekonomi Madani mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih baik, dan meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi di rantau Asia.

“Ianya sudah tentunya tidak boleh dilaksanakan Perdana Menteri seorang, tapi perlu dibantu oleh semua ahli jemaah menteri, kementerian serta agensi yang terlihat di seluruh negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles