Ekonomi Global: 2023 Akan Lebih Teruk Berbanding 2022

2023 bakal jadi tahun yang “sukar” berbanding tahun 2022 dalam ekonomi global berikutan tiga ekonomi besar mengalami pertumbuhan yang perlahan.

“Kenapa? Kerana tiga ekonomi besar, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah, China, semuanya perlahan secara serentak,” menurut Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva ketika tampil dalam program CBS, “Face the Nation”, Ahad lalu.

Kata beliau, China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia berkemungkinan berkembang pada atau di bawah pertumbuhan global buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun ini berikutan lonjakan kes COVID-19 di negara berkenaan selepas dasar “sifar-COVID” dilonggarkan.

“Itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Dan melihat ke tahun depan, selama tiga, empat, lima, enam bulan pelonggaran sekatan COVID memberi makna COVID akan mengalami kemarakan di seluruh China,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Eropah pula terjejas teruk akibat daripada perang di Ukraine dengan separuh daripada blok itu mengalami kemelesetan pada tahun ini, jelasnya lebih lanjut.

Bagaimanapun, katanya ekonomi AS mula kukuh dan boleh mengelakkan kemerosotan ekonomi.

Sebelum ini, lebih daripada 60 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di seluruh dunia meramalkan kemelesetan ekonomi dunia sebelum hujung tahun 2023.

BBerkaitan

Latest articles