Eddin Syazlee Sekali Lagi Kritik Parti, Pimpinan Bersatu Perlu Diubah

KUALA LUMPUR: Selepas mengkritik sikap acuh tak acuh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam menerajui kepimpinan Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith sekali lagi melontarkan pandangan terhadap kepimpinan tertinggi partinya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berpandangan parti perlu melakukan perubahan untuk menghadapi PRU16 tetapi mesti dilakukan secara ‘tertib’.

Bersatu dilaporkan akan memgadakan pemilihan parti pada tahun hadapan.

Memetik laporan FMT, Eddin Syazlee mendakwa partinya mempunyai kelompangan atau kelemahan yang perlu diisi supaya lebih mantap membantu Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu tidak memperincikan kekurangan dimaksudkan dalam parti diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan atau menamakan mana-mana pemimpin yang harus berundur atau diganti.

Bagaimanapun kritikannya itu berkaitan peralihan sokongan empat Ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan alasan demi pembangunan serta kebajikan kawasan diwakili mereka.

Mereka terdiri daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Zahari Kechik (Jeli).

Dalam masa yang sama, Eddin Syazlee melihat kemampuan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini memikul tugas setiausaha agung Bersatu berkebolehan menggalas tanggungjawab lebih besar.

“Saya tengok ramai tokoh dalam Bersatu seperti setiausaha agung (Hamzah) mungkin boleh memberikan penambahbaikan kepada parti.

“Tetapi kena ada tertibnya (mana-mana individu nak memimpin Bersatu), nak lakukan perubahan… tertib kena ada. Tak bermakna setiausaha agung nak gantikan presiden (Muhyiddin) macam itu sahaja, mesti ada formula,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini timbul khabar angin Hamzah dijangka antara calon utama disebut-disebut mengisi kerusi nombor satu Bersatu jika Muhyiddin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Sementara itu, Eddin berkata mana-mana pemimpin perlu berjiwa besar melepaskan jawatan sekiranya tidak lagi mampu memikul tanggungjawab

“Kalau kita memikirkan diri kita saja, dah cuba-cuba tak boleh pergi… kita tak nampak kelemahan kita tapi orang sekeliling kita nampak, kita kena terima hakikatnya itu,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles