Home BERITA Ebit Liew Kembali Buat Kerja Amal

Ebit Liew Kembali Buat Kerja Amal

Pendakwah terkenal, Ustad Ebit Lew kembali menjalankan kerja-kerja amal dengan memberikan bantuan kepada satu keluarga di Baling, yang dikesan tinggal di dalam sebuah bangsal di kebun getah sejak setahun lalu.

Keluarga itu terdiri daripada suami isteri dan empat orang anak yang masih kecil. Bangsal yang mereka diami itu sangat daif manakala kenderaan pula tidak lepas untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Menangis lagi di Baling, Kedah. Dah dua hari tak tidur bila dapat berita tentang keluarga suami isteri dan empat orang anak masih kecil-kecil dah setahun tinggal di bangsal atau khemah setahun dah.

“Selepas sahur terus ke sini.. jauh dari orang dan dalam kebun getah, banyak nyamuk. Tidak lepas kereta saya masuk dalam, kena jalan kaki. Menangis tengok adik-adik ini. Ya Allah maafkanlah saya. Ampunkan dosa diri saya,” kata Ebit dalam tulisan di Facebooknya.

Ebit turut mengajak keluarga itu berpindah dan sanggup menanggung sewa rumah baharu. Beliau juga memaklumkan ada pihak yang sudah menjanjikan pembinaan rumah bagi keluarga itu yang dijangka disiapkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Dalam isu ini, Kementerian Luar Bandar mungkin boleh membantu kerana di bawah kementerian tersebut terdapat banyak jenis bantuan disediakan kepada golongan miskin.

Antaranya ialah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mendapatkan rumah. Sesuai dengan dasar kementerian berkenaan untuk menambah baik dan meningkatkan bilangan program perumahan untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Pada masa sama, kerajaan mahu memperluaskan program pemilikan rumah serta meningkatkan akses pembiayaan perumahan kepada golongan sasar ini.

Bukan itu sahaja, dasar kementerian itu sendiri adalah memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada infrastruktur dan kemudahan sosial yang setanding dengan kawasan bandar.

Malah kementerian mensasarkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Berdasarkan kepada dasar-dasar yang ditetapkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini, ternyata keluarga terbabit memang layak mendapat bantuan untuk membolehkan mereka hidup selesa selain menambah pendapatan menerusi bantuan yang disediakan.

Apa pun Ebit dalam entri terbarunya di Facebook memaklumkan keluarga itu sudah berpindah ke rumah sewa baharu dan beliau sudah membayarkan dua bulan sewa serta bil sewa rumah dan elektrik.

Namun apa yang penting Kementerian diharapkan dapat membantu keluarga berkenaan memiliki rumah, bukan sekadar menyewa.

NO COMMENTS

Exit mobile version

Warning: Module "mbstring" is already loaded in Unknown on line 0