KUALA LUMPUR: Penilaian kendiri melalui sistem e-SelfAudit syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berhad menurut jaminan (CLBG) bertujuan memastikan mereka kembali kepada fungsi asal penubuhannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sistem berkenaan dibangunkan bukan untuk mencari kesalahan, sebaliknya menegakkan tatakelola pengurusan.
“Saya beri jaminan inisaitif kita ini bukan untuk mencela atau meragui, yang jalankan prestasi baik, harus teruskan tak perlu ada gangguan, dan bukan bermaksud untuk melecehkan kerja, mengutip hal-hal titik bengik.
“Saya sering dapat laporan Ketua Audit Negara, kalau hal-hal teknikal tak ambil kisah, yang kita nak tekankan supaya syarikat ini balik kepada fungsi asal jangan ada pertindihan, jangan ada kelulusan yang melanggar prinsip tatakelola dan apa lagi kesilapan audit.
“Pertimbangan ini ditekankan kerana kadang-kadang syarikat GLIC ini pun, harus diperingatkan dia syarikat milik kerajaan, bukan milik swasta, tidak boleh fikir mengikut kepompong polar pemikiran swasta yang fokus keuntungan,” kata Anwar ketika berucap di majlis peluncurkan inisiatif baharu iaitu Sistem e-SelfAudit bagi pengauditan syarikat kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap inisiatif itu langkah yang baik terhadap setiap jabatan kerajaan selain mahu semua pihak memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara.
“Agensi kerajaan kadangkala mempunyai kelemahan besar, dia ada lembaga, syarikat di bawahnya dan syarikat-syarikat di bawahnya. Jadi banyak pelanggaran peraturan, ataupun kalau ikut peraturan, pelanggaran dari sudut nilai dan tatakelola.
“Jadi bukan sahaja procedurally correct tetapi apa yang berlaku ialah kecenderungan ketua lembaga tubuh 40 syarikat, dia boleh jadi pengerusi 40 syarikat dan dia mendapat elaun 40 syarikat.
“Ini telah berlaku sebelum ini dan menyebabkan kita harus pantau semula kerana kelemahan pemantauan laporan pencapaian selama ini, menyebabkan masalah itu diulang,” kata Anwar.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Sistem e-SelfAudit merupakan salah satu daripada lapan komponen di bawah Projek Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) yang telah dilaksanakan sejak akhir 2024 dan dibangunkan secara dalaman oleh Jabatan Audit Negara.
Inisiatif inovatif ini membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 Syarikat Kerajaan yang diwartakan merangkumi GLC, GLIC dan CLBG.
Sebagai permulaan, Jabatan Audit Negara (JAN) telah pun melaksanakan penilaian kendiri melalui sistem e-SelfAudit secara projek rintis terhadap 206 Syarikat Kerajaan seluruh negara sejak 18 November 2024.
Pada majlis yang sama, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi juga telah mengeluarkan empat garis panduan pengauditan yang baharu.
Garis Panduan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan; Garis Panduan Susulan Audit; Garis Panduan Follow The Public Money Audit (FPMA); dan Garis Panduan Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan.