Durian MDUR 88 Dapat Permintaan Tinggi, KPKM Hasrat Tingkat Pengeluaran

KUALA KANGSAR: Tanaman durian hibrid MDUR 88 mendapat permintaan yang tinggi daripada penggemar raja buah setanding dengan durian jenis Musang King.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata KPKM berhasrat memperluas tanaman durian MDUR 88 sebagai usaha meningkatkan pengeluaran durian untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

“Kita mahu memperluas lagi tanaman durian MDUR 88 di negara ini kerana pengeluarannya masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara sebelum kita mengeksportnya.

“Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar menerima ramai pengunjung dari luar seperti China, Thailand, Kazakhstan dan mereka (pengunjung) boleh menerima varieti durian MDUR 88 ini. Jadi, kita yakin (durian MDUR 88) boleh ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar yang turut dihadiri Pengarah MARDI Perak Zaiha Zeeti Mohamad Yusob di sini, kelmarin.

Arthur berkata durian MDUR 88 mempunyai keenakan tersendiri kerana mempunyai tekstur yang halus selain rasa lemak manis membuatkan ia disukai kebanyakan pengunjung.

“Pada pendapat saya, durian MDUR 88 adalah durian paling sedap yang pernah dimakan dan harganya sangat berpatutan di pasaran,” katanya.

MARDI Kuala Kangsar telah diisytiharkan sebagai salah satu destinasi pelancongan dan dikenali sebagai Durio Tourism, sebuah pusat pelancongan berasaskan durian dan buah-buahan tropika dengan tema ‘dusun village’.

Lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam di sini, termasuk durian hibrid MARDI seperti MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189), dan MDUR 88 (D190) yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh negara.

MDUR 88 merupakan klon durian hibrid yang telah dibangunkan oleh MARDI iaitu hail kacukan antara induk D10 dengan D24 dan pertama kali diisytiharkan pada 1991.

BBerkaitan

Latest articles