KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan hari ini, menandakan bermulanya gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka menyaksikan saingan hebat antara pelbagai parti dan gabungan utama.
Dengan pengumuman rasmi tarikh pilihan raya kini dinantikan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), medan politik Sabah semakin panas apabila parti-parti utama giat menyiapkan strategi, memuktamadkan pembahagian kerusi serta menyusun jentera masing-masing.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk bekerjasama pada PRN kali ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menjalinkan pakatan dengan PH.
Namun, rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan BN dilaporkan menemui jalan buntu berpunca daripada pertikaian lama antara kedua-dua pihak.
Hubungan UMNO Sabah dan GRS retak sejak Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengetuai cubaan menggulingkan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Januari 2023.
Setakat ini, GRS dan PH berada di fasa akhir rundingan kerusi, manakala PH-BN dikatakan bersetuju menggunakan prinsip incumbency bagi mengelak pertembungan calon.
Sementara itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memilih untuk bertanding secara solo di semua 73 kerusi DUN.
Shafie menegaskan Warisan tidak akan berpakat dengan mana-mana parti dan menolak dakwaan kononnya parti itu sebahagian daripada “kuasa ketiga”.
Pemecatan automatik Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) daripada GRS baru-baru ini turut mengubah landskap politik negeri.
Pemerhati menjangkakan kedua-dua parti mungkin membentuk kerjasama baharu, namun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
Dalam kem Perikatan Nasional (PN), pergeseran antara Bersatu dan Pas mengenai calon Ketua Menteri masih belum selesai.
Pas turut mengumumkan hasrat bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi pada PRN kali ini.
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pula kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo, menyasarkan 36 kerusi DUN.