KUALA LUMPUR: Perlis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini berkata, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menerima mengadap beliau bersama Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari pada pukul 3 petang di Galeri Diraja Arau, semalam.
“Tuanku telah perkenan dan tarikh pembubaran adalah pada hari ini, Jumaat 14 Oktober 2022 ,” katanya pada sidang media hari ini.
Azlan berkata, pembubaran DUN akan membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Kerajaan Negeri Perlis telah menyerahkan menyerahkan segala urusan pilihan raya selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Malah langkah yang sama diambil DUN Pahang hari ini selepas mendapat perkenan
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengumumkan pembubaran DUN Pahang ke-14 itu berkata, perkembangan terkini itu membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, perkara itu selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
“Susulan perkembangan ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang, telah menghadap a Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagi pembubaran Dewan Negeri Pahang Ke-14.
“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tuanku telah berkenan agar Dewan Negeri Pahang Ke-14 dibubarkan, berkuat kuasa pada hari Jumaat, 14 Oktober 2022, bersamaan 17 Rabiulawal 1444 Hijrah, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan.
Jelasnya, tarikh itu dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.
Wan Rosdy berkata, meskipun penggal ini masih berbaki beberapa bulan lagi, ketetapan untuk membubarkan Dewan Negeri Pahang Ke-14, dan seterusnya menyertai PRU15 bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan diambil bersandarkan kepada beberapa keperluan.
“Pertama, mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat. Ini kerana, kurang setahun dari sekarang, penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan. Sekiranya Pahang tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 sekarang, ia hanya akan menyebabkan kita terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak.
“Perkara ini sudah pasti memerlukan penggunaan sumber tenaga, masa dan fokus yang tinggi, dan ia boleh dielakkan sama sekali, sekiranya Pahang menyertai PRU15 bersama-sama Kerajaan Persekutuan sekarang.
“Kedua, Negeri Pahang memilih untuk turut serta dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, kerana pilihan raya yang dijalankan secara serentak menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat.
Tambah beliau permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.