DUN Perak Masih Stabil Walaupun Selepas 3 ADUN ‘Melompat’ Ke PBM

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi jaminan keabsahan pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas, meskipun tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BERSATU dan seorang bebas bertindak menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tegasnya, kestabilan pentadbiran kerajaan negeri masih kekal selagi mempunyai mandat menerusi jumlah kerusi mencukupi.

“Sekarang kita mempunyai 36 kerusi yang masih menyokong pentadbiran kerajaan negeri dan tiga ADUN lompat ke parti lain ini tidak menarik sokongan.

“Justeru, ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada keabsahan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah untuk kerja pembaikan Jalan Tambun, semalam.

Baru-baru ini dua ADUN BERSATU, iaitu A Sivasubramanian (Buntong) dan Paul Yong Choo Kiong (Tronoh), selain Leong Cheok Keng (Bebas-Malim Nawar), mengambil keputusan untuk menyertai PBM yang baru dilancarkan minggu lalu.

Menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa PBM yang berlangsung Sabtu lalu, Sivasubramaniam dan Choo Kiong, masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden serta Bendahari Agung, manakala Cheok Keng kini menyandang jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

Pada 19 Januari tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chien Jen, dilaporkan berkata Cheok Keng dipecat daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta memandangkan beliau menyertai MCA.

Dewan Undangan Negeri Perak kini terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), BERSATU (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan bebas (satu).

Berita Berkaitan

Komen

Terkini