DUN Melaka Kecoh Gara-Gara Dakwaan ‘Skandal Sulit’ Libatkan ADUN

MELAKA: Sidang terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini bertukar panas apabila pembangkang menggesa penjelasan berhubung dakwaan skandal membabitkan seorang isteri orang dan seorang ADUN.

Kekecohan tercetus ketika Datuk Muhammad Jailani Khamis (PN–Rembia) membangkitkan laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan wakil rakyat.

Tuduhan itu mengundang bantahan daripada blok kerajaan sehingga memaksa Timbalan Speaker, Kerk Chee Yee campur tangan menggunakan Peraturan Mesyuarat 20(1)(m)(1) atas dakwaan serangan peribadi dan sangkaan jahat.

Situasi semakin tegang apabila Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN–Merlimau) bangun mengecam tindakan Muhammad Jailani yang disifatkan “tidak bertanggungjawab” dan langsung tidak menyentuh isu rakyat.

Pertelingkahan berlarutan selepas Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN–Duyong) mendedahkan wanita yang dikaitkan dengan dakwaan itu turut membuat laporan polis menafikan fitnah berkenaan, selain kes tersebut telah berada di mahkamah, sekali gus melanggar Peraturan Mesyuarat 20(1)(g).

Sejumlah ADUN kerajaan turut mengecam percubaan didakwa mahu mencemarkan imej dewan, memaksa Timbalan Speaker menghentikan ucapan Muhammad Jailani serta-merta sebelum sesi diteruskan dengan ucapan penangguhan seterusnya.

BBerkaitan

Latest articles