DUN Gurun Kosong, Johari Kosongkan Kerusi

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan serta-merta.

Bekas Pengerusi PKR Kedah berkenaan menjelaskan sebab pengosongan kerusi itu melalui rakaman video hari ini, selain memaklumkan telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember atau Selasa lalu.

Bagaimanapun tiada sebab terperinci dinyatakan di sebalik tindakan berkenaan.

Johari menjadi ADUN Gurun sejak 2018 selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 4,207 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Beliau pernah bertanding DUN Bakar Arang pada PRU 2004, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Seng Koon Huat.

“Inti pati surat tersebut berbunyi saya, Datuk Johari bin Abdul, dengan ini memaklumkan kepada yang Berhormat Datuk Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun, yang saya wakili berkuat kuasa secara serta-merta,” katanya.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan DUN Kedah.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana. Tuan-tuan dan puan-puan telah pun berikan kerjasama yang luar biasa, kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

“Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam memakmurkan dan membangunkan negeri Kedah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah dalam video berdurasi dua minit itu.

Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani sebelum ini dilaporkan menjadi antara calon disenaraikan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang akan bersidang buat kali pertama esok pasca PRU15, 19 November lalu.

Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai PRU15, sebaliknya digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil PH menang di Kedah.

Pada 31 Oktober lalu, Johari dipilih sebagai ketua pembangkang baharu DUN Kedah bagi menggantikan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) sehari sebelumnya.

Sementara itu, Juhari ketika dihubungi, mengesahkan sudah menerima surat berkenaan yang kemudian sudah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pengosongan kerusi DUN Gurun adalah sah. Saya sudah maklumkan kepada SPR negeri untuk tindakan selanjutnya, di pihak saya sudah tidak ada apa-apa (tindakan),” katanya.

Mengikut Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dilaporkan berkata, perkara sama turut terpakai bagi DUN, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang.

Sepertimana Parlimen, PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali ada keperluan khas.

Keperluan khas itu termasuk jika berlaku situasi di mana kerajaan Pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat atau DUN menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri.

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi dengan PAS mengetuai kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) dengan menyandang 15 kerusi, manakala BERSATU menyandang enam kerusi.

PH pula menyandang 10 kerusi, membabitkan PKR (4), AMANAH (4) dan DAP (2), manakala dua lagi kerusi disandang Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Selepas PRU14 pada Mei 2018, persidangan pertama DUN Kedah dilangsungkan pada 4 Julai tahun berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles