Dulu Saya Ditentang Hebat Bila Nak Perkenal GST, Kata Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan meluahkan rasa hairannya mengapa hari ini ramai pihak mula senang dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), malah mahu ia dilaksanakan semula.

Mengimbau kembali beberapa tahun yang lalu, Ahmad berkata beliau antara yang ditentang dan dikecam apabila kerajaan hendak melaksanakan sistem percukaian itu.

Menurut Ahmad, lain pula keadaannya kini apabila Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan penganalisis antara pihak yang mengalu-alukan pelaksanaan GST.

Sehubungan itu, katanya, penjelasan mengenai cukai itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Hairan. Dulu ramai tak suka #GST. Kini ramai yg suka pula. Termasuk FMM, DPMM, peniaga, penganalisis.

“Dulu saya berhadapan dgn tentangan yg sangat hebat. Kini ramai yg bantu beri penjelasan. Sekitar 173 negara atau 90% sedang laksana GST/#VAT.

“Kini ramai yang suka pula. Termasuk FMM, DPMM, peniaga, penganalisis,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Bagaimanapun Ahmad memberitahu kerajaan belum berhasrat melaksanakan GST tahun ini dan masih belum membuat sebarang keputusan untuk memperkenalkan semula cukai berkenaan.

Tambahan pula, katanya, GST hanya disebut secara lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar.

“Adakah GST akan dilaksana? Tahun ini tentu tidak. Tiada keputusan untuk akan datang.

“PM Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut bahawa subsidi bersasar perlu dilaksana dulu, kurangkan subsidi kepada orang kaya baru fikir tentang kembalikan GST. Namun, kajian dan penjelasan utk kefahaman rakyat diteruskan,” kata Ahmad.

Pada 13 September lalu, Anwar berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Melalui wawancara bersama Bloomberg ketika Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken, Perdana Menteri mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.

Untuk rekod GST dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus, sebelum dimansuhkan pada 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan pimpian Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambilalih pentadbiran negara.

BBerkaitan

Latest articles