Dulu Fokus Bina Negara, Kini Tun M Dakwa Ada Banyak Masa Bantu Negeri Ditadbir PAS

KUALA LUMPUR: Selaku penasihat tidak rasmi di empat negeri yang ditadbir PAS, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau kini mempunyai banyak masa dan tumpuan lebih kepada usaha membangunkan negeri-negeri berkenaan.

Bekas perdana menteri itu mendakwa ketika mengetuai kerajaan pusat suatu ketika dahulu, pastinya tumpuan diberikan kepada negara secara keseluruhan.

Dr Mahathir berkata manakala urusan negeri-negeri pula dipertanggungjawab kepada pentadbiran masing-masing.

“Sekarang selepas tidak lagi jadi perdana menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, yang menjelaskan tentang pertemuan dengan menteri besar Perlis semalam.

SG4 merujuk empat negeri diperintah PAS iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bulan lalu mengumumkan kerjasama antara mereka dengan Dr Mahathir memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi, berkait urusan pentadbiran dan pelabur asing.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata SG4 menumpukan kepada usaha meningkatkan kegiatan ekonomi dan pelaburan melalui bidang kuasa sedia ada serta sumber dan aset negeri.

Umpamanya cuaca panas di Perlis sesuai untuk projek tenaga solar besar-besaran, katanya.

“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini punyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau juga berkata tanah-tanah kosong yang terbiar di negeri itu sesuai untuk tanaman pokok jati yang bernilai tinggi.

“Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles