Dulu Dia Keluar Fatwa Kafir, Kini Abdul Hadi Dengan Dalil Halal Rasuah Pula

KUALA LUMPUR: Persatuan Veteran UMNO tidak berasa hairan dengan kenyataan terbaharu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pemberian hadiah kepada pengundi dikira sebagai sedekah, dan bukan rasuah.

Menurut setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, kenyataan Abdul Hadi jelas menunjukkan dirinya sudah ‘menemui’ dalil bagi menghalalkan perbuatan tersebut.

“(Tan Sri Abdul) Hadi seorang yang banyak mengeluarkan fatwa politik menggunakan Islam demi mencapai matlamat Pas.

“Fatwanya yang mengkafirkan orang UMNO adalah yang paling lama sehingga menimbulkan perpecahan dalam masyrakat, keluarga dan rumah tangga.

“Semua masih ingat peristiwa solat dua imam. Kahwin imam orang UMNO tidak sah. Sembelihan orang UMNO haram. Anak dan ibu bapa serta adik beradik putus hubungan kekeluargaan dan berbagai musibah berlaku akibat fatwa Hadi itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mustapha merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang mana berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Veteran UMNO turut berkata, ‘fatwa’ yang dikeluarkan Abdul Hadi telah berjaya sehingga dipercayai pengikutnya dengan menganggap fatwa dan dalilnya itu betul dan benar.

Menurut Mustapha lagi, ini kerana Abdul Hadi digelar sebagai tuan guru maka apa yang keluar dari mulutnya semuanya betul dan benar.

“Mereka tidak nampak keburukan dan kemunafikan Hadi yang telah melakukan kefasikan kepada diri mereka.

“Veteran UMNO menyeru Hadi supaya berhenti dari melakukan kerosakan kepada aqidah pengikutnya dan bertaubat dengan segera. Veteran UMNO mendesak Hadi supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fatwanya yang mengkafirkan orang UMNO.

“Veteran UMNO juga menyeru Hadi supaya kembali kepangkal jalan dan berhenti dari melakukan kemungkaran demi kesejahteraan ummah dan bangsa Melayu,” katanya lagi.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,682FollowersFollow
20,500SubscribersSubscribe

Terkini