KLUANG: Cubaan seorang duda meloloskan diri melalui tingkap bilik hotel bagi mengelak dicekup penguat kuasa agama tidak berjaya, apabila tindakannya dikesan dalam satu operasi khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sepasukan anggota JAINJ menjalankan operasi selepas menerima aduan mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah hotel di daerah berkenaan.
Menurut kenyataan JAINJ, pasukan penguat kuasa mengetuk pintu bilik hampir 10 minit sebelum seorang wanita berpakaian lengkap dan bertudung akhirnya membuka pintu.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, seorang anggota yang berkawal di bahagian belakang hotel terdengar bunyi mencurigakan sebelum menemui seorang lelaki berdiri di atas kompresor pendingin hawa.
“Lelaki itu berada dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang,” jelas kenyataan itu.
Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 40-an itu berstatus duda dan bekerja di Kluang, manakala wanita berusia 30-an pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Wanita terbabit memberi alasan datang ke Kluang untuk membeli barang dan menyewa bilik hotel bagi berehat sebelum pulang ke rumah.
Kedua-duanya ditahan kerana disyaki berkhalwat dan disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.