MELAKA: Dua syarikat pengeluar kopi dan biskut di negeri ini diarahkan menarik semula semua produk dari pasaran selepas sijil halal mereka dibatalkan susulan pelanggaran serius piawaian syariah.
Tindakan itu dibuat selepas pemeriksaan oleh Jabatan Agama Islam Melaka mendapati penggunaan berus yang disyaki mempunyai ciri bulu babi dalam proses pembersihan peralatan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata, keputusan tersebut turut menyaksikan kedua-dua syarikat, Heng Loong Coffee Sdn Bhd dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd, dilarang menggunakan logo halal serta diwajibkan menarik balik produk sedia ada di pasaran.
Menurutnya, kes berkenaan merupakan yang pertama tahun ini melibatkan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) akibat penggunaan peralatan yang dikategorikan tidak halal.
Ia dikesan hasil pemeriksaan JAIM sebelum disahkan melalui analisis oleh Pusat Analisis Halal Malaysia yang menemukan ciri fizikal bulu babi pada berus terbabit.
“Tindakan ini penting bagi memastikan keseluruhan rantaian pengeluaran bebas daripada unsur haram atau syubhah, termasuk implikasi najis mughallazah yang memerlukan proses sertu mengikut hukum syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua syarikat perlu melaksanakan penambahbaikan menyeluruh termasuk proses pembersihan mengikut garis panduan sebelum sebarang permohonan semula boleh dipertimbangkan.
Tindakan itu juga selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020 (Pindaan) yang menetapkan ketidakpatuhan serius berkaitan syariah sebagai kesalahan berat.
Dalam pada itu, Rahmad menegaskan kepentingan pematuhan standard halal bagi mengekalkan kepercayaan pengguna, selain menasihatkan orang ramai membuat semakan status produk melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pemantauan akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap produk yang diperakui halal benar-benar mematuhi syarat ditetapkan serta kekal diyakini pengguna.










