Dua Suspek Dikait Kematian Wanita Dijumpai Bogel, Terikat Akan Didakwa Esok

KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan tragis seorang jurujual wanita yang ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan terikat di Seri Kembangan semakin hampir ke muka pengadilan apabila dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an bakal didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu selesai dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Selangor.

“Kedua-dua suspek akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, polis turut menahan seorang lagi lelaki tempatan, menjadikan keseluruhan lima individu kini berada dalam tahanan bagi membantu siasatan.

Suspek kelima itu direman lima hari sehingga 10 November.

Sebelum ini, tiga suspek lelaki termasuk bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa direman selama lima hari pada peringkat awal sebelum disambung tiga hari lagi.

Seorang wanita berusia 30-an, yang merupakan rakan serumah mangsa di Taman Castlefield, turut direman lima hari dan dilanjutkan tiga hari.

Kes ini tercetus selepas mayat mangsa, seorang jurujual berusia 24 tahun yang bekerja di Ampang dan Bukit Bintang, ditemukan oleh orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu di Jalan Anggerik, berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian, sementara siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti motif pembunuhan kejam itu.

BBerkaitan

Latest articles